Malam ini separa suram. Pengunjung hanya sejemput walaupun tidak hujan. Wak, si DJ entah ke mana, tidak lagi sibuk di kaunternya. Baru saja sebentar tadi, perempuan Indonesia katakan sekuat-kuatnya yang Wak berlakun ‘alim. Aku hanya tersenyum kerana jeritan itu diacukan terus kepadaku. Entah apa maksudnya. Mahu diajaknya Wak ‘bergoyang’. Entah apa yang mahu digoyangkan.
Sound system makin melarat. Wak tetap bersabar dengan apa yang dia ada. Tiga teruna Indon begitu asyik mengalunkan lagu. Suara dan bunyi muzik bagaikan selut yang lanyau, beserta kopi o aku yang hampir sejuk, aku jadi melugai.
Namun aku di sini jua. Tetap tak berganjak kerana aku rasakan sesuai. Mungkin di sebalik muzik yang berceramuk ini, aku jumpa kedamaian. Ini tempat yang setara aku. Mungkin disebabkan semuanya yang ada di sini lebih tenang setelah meluahkan stress mereka melalui nyanyian.
Lagu kedua untuk pasangan Indon mula berkeroncong. Lagu ini aku lebih faham walaupun aku tidak tahu apa tajuknya. Sedap juga suara Mat Indon ini, masuk key-nya dengan irama ini.
Wak kembali di tempatnya, dengan kesabarannya. Mungkin dia redha dengan apa yang ada padanya. Dia tenang. Sambil mendengar sekali-sekala, nyanyian pasangan ini terlari keynya. Mungkin tiada pincang suara mereka, Wak sedia tahu ‘wiring’ mikrofonnya bermasalah. Taukenya, Man, terlalu kedekut untuk memperbaiki apatah lagi mencurah sedikit modal untuk membaik pulih system yang ada.
Leha menemani Wak. Mungkin mahu meminta lagu atau hanya nak mengorat saja. Baru semalam Leha membayar RM27 untuk nyanyiannya. Pelik juga bagiku. Selalunya ada abang yang akan belanja mak-mak Indon ini. Tetapi nyata leha berbeza dari mereka yang lain. Nancy dan si kurus entah ke mana. Hilang dalam kegelapan taman nun di depan.
Lagu ketiga, lebih rancak. Namun Wak pula menggaru-garu kepala. Tweeter speakernya perlu diperbaiki, tetapi belum agaknya. Dia masih belum habis bersyukur dengan buku senarai lagu yang aku sediakan. Percuma, tanpa sebarang cas walaupun dia belanjakan aku minum, makan dan selagu dua. Berapa banyak dapat aku makan minum apatah lagi dalam usia begini. Tetapi aku berpuas hati dengan sekadar dapat menolong.
‘maafkan aku…menduakan cintamu..’, melaung si anak Indon ini. Sedap alunannya. Temannya bersetuju, mengangguk-angguk menikmati lagu ini. Dia melaung lagi, untuk kali kedua dalam korus lagu itu. Sambil pemandu kereta sapu yang membawa mereka ke sini tak sabar-sabar mahu pulang. Jam 1.45 pagi sudah lewat baginya. Bagi anak-anak Indon ini, masih awal. Jauh lebih awal.
No comments:
Post a Comment