Kumpulan majoriti senyap terus menyokong
kepimpinan negara walaupun beberapa ekstremis cuba memecahbelahkan
perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Perdana Menteri berkata beliau percaya bahawa
majoriti senyap dalam kalangan rakyat tidak mudah terpengaruh dan
percaya dengan apa sahaja agenda atau isu yang dibangkitkan oleh
kumpulan ekstremis.
"Hanya sesetengah pihak seperti golongan
ekstremis cuba mensensasikan isu-isu kecil dan memecahbelahkan kita.
Kita tidak perlu tunduk kepada elemen negatif mereka.
"Kita
harus ingat, integrasi dan perpaduan dalam kalangan kumpulan majoriti
akan meletakkan Malaysia berada dalam keadaan yang harmoni, kukuh dan
stabil pada tahun-tahun mendatang," katanya pada sambutan Rumah Terbuka
Ugadi di Dataran Merdeka di sini, pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala
Mohan, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia Tan Sri M.Kayveas dan
bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.
Perdana menteri
berkata kerajaan sentiasa komited dalam mengekalkan dan melindungi
kesejahteraan semua masyarakat di negara ini.
Mengenai
masyarakat India di Malaysia, Najib berkata kerajaan akan terus berusaha
untuk meningkatkan taraf hidup mereka walaupun adanya beberapa masalah
dan cabaran dalam proses mencapainya.
"Saya harus akui bahawa
masih ada masalah dan cabaran yang dihadapi masyarakat ini yang
memerlukan perhatian daripada kerajaan," kata beliau.
Najib
berkata kerajaan telah mengumpul input dan pendapat daripada setiap
pihak dalam masyarakat India untuk meningkatkan taraf hidup mereka bagi
dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang akan dibentangkan tidak
lama lagi.
Menurutnya kerajaan juga sentiasa mengakui inisiatif
yang diambil oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam melindungi
kesejahteraan masyarakat.
"Kami mendengar suara dan pendapat
yang dapat membantu kami. Itulah sebabnya kita membantu mereka dengan
memperuntuk bantuan kewangan,"katanya.
Ugadi adalah perayaan
tahun baru bagi masyarakat Telugu dengan perkataan "Yuga" bermaksud era
dan "adi" bermaksud permulaan dalam bahasa Sanskrit.
Lebih 1,000 orang menghadiri sambutan Rumah Terbuka Ugadi itu yang dianjurkan oleh Persatuan Telugu Malaysia.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment